Wednesday 15 June 2011

Perutusan Tahun Baru 2009 Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Kepanduan kepada semua warga Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang saya hormati dan kasihi.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 kepada seluruh warga Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Sempena kedatangan tahun baru ini, marilah kita sama-sama berazam untuk meningkatkan lagi imej Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebagai sebuah Persatuan yang dikenali dan iktiraf bagi melahirkan golongan remaja wanita dan wanita dewasa yang berkaliber, prihatin, mahir dan dinamik serta mempunyai nilai sahsiah diri yang baik dan bertanggungjawab.
Tahun 2008 merupakan tahun yang sangat sibuk dan bermakna bagi saya.Pada 29 Mei 2008, saya telah dilantik dengan rasminya sebagai Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Johor. Pada 2 hingga 14 haribulan Julai 2008 saya telah menghadiri Persidangan Ketua Pesuruhjaya negara-negara Commonwealth di Cape Town dan diikuti dengan Persidangan Dunia ke 33 di Johannesburg, Afrika Selatan. Sekembalinya saya dari Afrika Selatan, saya menghadiri Perkhemahan Antarabangsa Pandu Puteri Remaja 2008 di Kem Bina Negara Ulu Kenas, Kuala Kangsar dari 17 hingga 22 haribulan Ogos 2008.
Sebelum Kem Ulu Kenas, saya telah menghadiri Majlis Penutupan Perkhemahan Pandu Puteri MRSM se Malaysia di Taiping, Perak yang berlangsung dari 11 hingga 14 haribulan Ogos 2008. Pada 26 Oktober 2008 saya menghadiri Majlis Penutupan Bengkel Penyetaraan Lencana Kecekapan di Institut Aminuddin Baki, Sri Layang, Bentong, Pahang. Satu Majlis Makan Amal dan Majlis Anugerah Sri Kandi, Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2008 telah diadakan pada 7 November 2008 dan di Majlis yang sama, Air Mineral Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah dilancarkan. Alhamdulillah, kesemua acara ini telah berjalan dengan jayanya.
Pada tahun ini, Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah mengharumkan nama negara bila Persatuan Pandu Puteri Malaysia menerima anugerah “Olave Baden Powell Award” semasa Persidangan Dunia di Johannesburg, Afrika Selatan pada Julai 2008 yang lalu. Anugerah ini mengiktirafkan Projek Khidmat Masyarakat yang disediakan oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan. Syabas diucapkan kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan.
Pada bulan November tahun 2008 Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah menerima dua orang tetamu dari World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) untuk meninjau Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan mengadakan perjumpaan bersama Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Kebangsaan. Mereka adalah Puan June Cameron, Chairman, Asia Pasific Committee & World Board Member dan Cik Gillian Wilcox,Global Project Manager, Signature Programme Volunteerism. 14 orang ahli Nara Council Girl Scouts of Japan telah melawat Malaysia dan menjadi tetamu Persatuan Pandu Puteri Malaysia dari 19 hingga 23 Disember 2008. Lawatan ini telah berjalan dengan jayanya. Ahli-ahli dari Nara Council Girl Scouts of Japan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing. Jawatankuasa Antarabangsa serta sukarelawan yang terlibat mengendalikan lawatan ini telah menerima pujian dan penghargaan dari Yang Di Pertua Nara Council.

Pada akhir tahun 2008, Persidangan Kejurulatihan dan Kursus Bakal Jurulatih telah diadakan di Institut Aminuddin Baki, Genting dari 15 – 19 Disember.
Bermulanya tahun 2009 Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah menyediakan Perancangan 2009 dengan tersenarainya berbagai-bagai aktiviti dan program. Semoga semua yang telah dirancangkan dapat dilaksanakan bersama cawangan-cawangan. Diantaranya adalah Kempen Pendaftaran Pasukan dan Ahli, Sambutan Hari Peringatan Sedunia dengan tema “Kita boleh mencegah Aids, Malaria & Penyakit lain daripada berleluasa” serta Pelancaran Projek HIV Aids bersama YayasanPink Triangle , Mesyuarat Agung Tahunan di Kuala Terengganu, Kursus Pemimpin IPT, Sukan Ria Pandu Puteri, Pertandingan Kawat Kaki, Kursus Lencana Kecekapan MRSM, International Ranger Leadership Challenge 2009, Pertandingan Pengucapan Awam 2009 dan pelbagai aktiviti yang lain. Kita perlu lebih bersedia untuk mempersiapkan diri dan melipat gandakan usaha untuk mengejar impian dan harapan Persatuan untuk menjadi organisasi yang lebih cemerlang, berinovasi dan berdaya saing. Nilai-nilai murni yang tercetus daripada semangat kerja berpasukan, toleransi, tolong menolong dan menghargai pandangan orang lain pastinya melahirkan insan yang bukan sahaja mahir dari segi teori, malah berbakti menerusi latihan-latihan utama dalam perkhemahan.
Pada tahun 2009, Persatuan Pandu Puteri Malaysia juga akan meneruskan program-program yang telah dirancang melalui Pelan Perancangan Strategik 2009 – 2013. Antaranya termasuklah meningkatkan keuntungan Pusat Peralatan, menambah bilangan ahli, menganjurkan kursus-kursus yang berkualiti, memperluaskan khidmat masyarakat dan pelbagai aktiviti yang lain.
Saya bagi pihak pengurusan sentiasa memikirkan untuk meningkatkan kebajikan kepada kakitangan. Insya’Allah kita akan mengatasi segala kelemahan dan memperbanyakkan kemudahan-kemudahan untuk kakitangan berbanding dengan apa yang sedia ada.
Tahun 2009 adalah Tahun Warga Emas Persatuan Pandu Puteri Malaysia (Golden Girls). Kita akan menghadapi tahun 2009 yang begitu sibuk dan mencabar. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang telah memberi sokongan kepada saya dan Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaan. Tidak lupa juga kepada kakitangan Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Semoga kita semua sentiasa berada dalam keadaan sihat, ceria, aman dan sibuk dengan aktiviti Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang menyeronokkan dan bermanfaat.
Sekian, wassalam.
DATIN HAJJAH ZALILLAH BTE MOHD TAIB
Ketua Pesuruhjaya
Persatuan Pandu Puteri Malaysia
1 Januari 2009

No comments:

Post a Comment